Pages

Saturday, July 6, 2019

Ketika tangan rajin menulis pada helaian masa, aku menjadi bingung dengan diri sndiri..

Pena yang berganti dakwat terus menceritakan kisah bahagia hati yang sedang berbunga.

Ada waktu menjadi terlalu bingung, kudrat yang terbatas ku gagahkan jua. Seawal jam 5 pagi berdiri tegak memohon kekuatan dari yang Esa.

Terus menjalankan amanah kerja, tidak cukup ditambah pula "oncall" di tempat lain yang jauhnya hampir 200 kilo. Setelah kerja yang tidak punya masa rengang, terus ke sana ke mari dan akhirnya kembali ke titik mula. Semuanya dilakukan rupanya kerana cinta.

Cinta itu entah lah, buta atau tidak. Tetapi itulah yang menjadi dakwat pada lembaran lembaran kini.

Aku takut. Terlampau tinggi pengharapan kelak memakan diri.. Mungkin membunuh jiwa tidak dibangkit bangkit lagi.. 

Saturday, June 29, 2019

Berat

Kata kata ada kalanya ringan diungkap.
Namun ringan ungkapannya, tajam maksudnya.

Hati remuk dihiris kata kata. Cuba memujuk hati yang dilapah dengan kata kata.

Kerana ikhlas diuji lagi. Adakah sekadar cinta membuktikan lisan bertutur ikhlas?

Dalam hati gundah gelana, memikirkan sayangnya pada manusia, akhirnya gugur gerimis mata pada kalam penciptanya.

Bait bait yang ditutur memaksa kelopak mata terus melimpahkan gerimisnya.

Benar kata kata manusia tidak sempurna. Ada kalanya kita dikutip kerana simpati, dibelai kerana sunyi. Namun pada bait Tuhan, tidak pernah meninggalkan hambanya sendirian.

Ya Allah, jadikanlah cintaku hanya kerana-Mu. 

Thursday, May 23, 2019

Pena emas

Anak jalanan pernah menaruh harapan. Harapan itu bersatunya cinta dan perasaan.

Harapan terhadap seorang puteri. Puteri yang hatinya bersih, wajahnya indah, peribadinya mencerminkan agamanya.

Adapun harapan yang ditaruhkan tidak berkekalan. Kerana kedudukan darjat membezakan tempat. Masakan anak jalanan ingin melamar seorang puteri bangsawan.

Era kini harapan saja dilihat cacat tanpa harta. Maka anak jalanan terus membuang helaian harapan yang pernah menjadi isi senaskhah kehidupan.

Purnama berganti purnama, rupanya Allah permudahkan helaian lembaran harapan yang pernah mengisi naskhah kehidupan anak jalanan.

Sedang anak jalanan cuba mengisi harapan dengan cinta beserta perasaan yang kini berbalas, kini emas dan perak menjadi cabaran seterusnya.

Anak jalanan kini buntu. Hidupnya sehelai sepinggang. Dirinya ada ibu, adik, dan agamanya. Mana mahu dicari lautan emas untuk menjadikan baki lembaran senilai emas yang dijadikan pena menulis..

بَلِ ٱللَّهُ مَوۡلَىٰكُمۡۖ وَهُوَ خَیۡرُ ٱلنَّـٰصِرِینَ

Thursday, January 31, 2019

Janji

Janji.

Ia satu simbol. Tanda. Jati diri.

Pada ia dipasakkan kepercayaan. Berpihak pada diri, kawan atau lawan.

Janji ini telah aku pasang, ia untuk diri. Pasaknya sangat dalam. Agar ia kuat teguh dilanda badai.

Aku telah berjanji. Kesabaran itu akarnya, faham itu siramannya.

Kerana pada janji, aku akan kembali. 

Tuesday, October 16, 2018

Entah

Titik paling rendah, itulah yang selalu diuji kepada hamba-Nya. Bila diuji, sebaiknya kembali bersujud memohon pengampunan, melafaz selawat mencari syafaat.

Bila terkenang dengan ujian, lantas hati cuba memujuk. Tuhan tahu yang terbaik. Kerana diri bukan terbaik, maka cuba mengambil apa yang terbaik untuk menampal kelemahan diri.


Monday, October 15, 2018

Blessed

Hampir 2 tahun tidak menulis di ruangan peribadi maya. Bahkan sebenarnya terlalu banyak ungkapan atau bicara yang ingin diatur menjadi kata. Kata kata yang dikarang akhirnya menjadi kenangan yang bisa diselak pada masa hadapan.

Aku melalui kehidupan yang seiring dengan alam. Sebagaimana manusia itu dilahirkan, aku juga melihat nyawa dikembalikan.

Aku menjadi kelu. Kelu dengan diri sendiri. Kelu ketika nyawa dicabut, seolah olah menjadi rutin harian yang tidak lagi memberi makna zikrulmaut.

Lantas ingatan ini tidak menghalang diri dari tenggelam dengan maksiat. Hinggakan manusia lain menjangkakan seorang yang maksum sedang berkata kata walhal kata katanya penuh dengan maksiat pada penanya.

Aku kembali membuka kalam tuhan, mengalunkan satu persatu huruf yang menjadi saham akhirat. Bait bacaan ini menjadi penenang pada diri yang sungguh sengsara jiwanya.

Satu persatu nikmat dunia yang ingin aku kejar. Aku berdoa pada tuhan agar aku mampu mendapat nikmat tersebut. Namun aku cuba akur sekiranya itulah nikmat yang diasingkan khusus buat hamba yang benar benar menjadi hamba.

Blessed.

Aku ingin menulis kembali.

Tuesday, November 8, 2016

ibadat hati

Setiap saat merupakan unit yang melengkapi kehidupan setiap makhluk. Maka terjadinya saat tidak akan dibazirkan melainkan akan menjadi persoalan di akhirat kelak.

Pada malam israk mikraj, Allah swt telah menurunkan seruan Solat sebanyak 50 waktu. Maka jika dibahagikan dalam kehidupan seharian, kita akan memperuntukkan sebanyak 28 minit bagi setiap solat. Mereka yang melengkapkan 50 waktu, pastinya tidak akan mempunyai waktu untuk melakukan maksiat melainkan hanyalah beribadat kepada Allah swt.

Bila dah kurang menjadi 5 waktu, maka kehidupan berbaki mestilah diterjemah kepada ibadah. Ibadah fizikal, hati dsb.

Ibadah hati, pergantungan kita kepada siapa, kalau berharap pada manusia, manusia pasti mengecewakan. Kembalilah kepada yang maha berkuasa, yang membolak balikkan hati.




Tuesday, June 7, 2016

Ayah dah pulang.

Langit petang menjadi mendung. Bumi Selangor sering dibasahi hujan tatkala senja mula menjengah. Udara menjadi dingin dan lembap, desiran angin semakin kuat, aku melihat ayah datang dengan menaiki kereta hitamnya. Ma pernah berkata, ayah memang hidupnya dalam kereta. Kuat mencari rezeki, hinggakan 2/3 hidupnya berada di dalam kereta. Aku dan ayah ketawa perlahan mendengar keluhan ma.

Perlahan-lahan ayah tersenyum girang sambil membuka pintu kereta lalu cepat-cepat aku mencapai tangannya yang mulia untuk kukucup. Ku mula sedar, jarang sekali peluang sebegini hadir untuk aku mendekati ayah.

"Ma tak balik lagi ke, ayah pergi jemput ma dulu ye." Ayah mula berbicara ringkas denganku. Perlahan-lahan kereta ayah bergerak ke hadapan, dengan serta merta alu menahan dari belakang.

"Ayah, ma habis kerja pukul 4 hari ni. Bulan ramadan ma habis awal." Cepat cepat aku memberitahu ayah, bimbang bimbang ayah tersangkut di dalam kesesakan lalu lintas. Sambil melihat jam tangan yang menunjukkan waktu sudah menghampiri jam 5, waktu berbuka semakin delat.

Ayah kembali memasukkan kereta ke dalam anjung kereta. Aku membuka pintu di belakang dan terus mengambil kerusi di tepi ayah.

"Adik tak balik ke hari ni?" Soal ayahku lagi tanda rindu mungkin.

"Adik dengan kak yang semua ada kelas dan exam ayah, hujung puasa ni baru balik," balasku menjawab persoalan ayah.

Ayah sendawa kecil, meletakkan tangannya di atas perutnya, ayah mengadu perutnya tidak selesa. Cepat cepat aku mengajak ayah ke hospital. Ayah memang sukar untuk dibawa ke hospital. Seperti kebanyakan orang, ayah lebih suka untuk menanggung kesakitan yang sedikit daripada menunggu berjam lamanya di ruang menunggu hospital.

"Ayah, jom along bawak pergi hospital, along belanja ayah makan nak?" Rayuku pada ayahanda tercinta. Soalan aku dibalas dengan ketawa ayah, ayah mengadu lagi, katanya perutnya pedih. Air mata panasku mula menitik. Sedikit demi sedikit aku menyedari ini bukan realiti. Tetapi mimpi pada kali ini berbeza. Kalau sebelum ini, aku melihat ayah dari jauh. Tanpa suara. Ramadan ini Allah swt pertemukan aku dengan ayahanda tercinta, aku merindui untuk bergurau manja dengan ayah. Semakin deras air mata mengalir, semakin kabur pandangan mataku dengan ayah. Cepat cepat aku menangkap ayah dan memeluk erat.

"Ayah..maafkan along ayah," pintaku sambil memeluk erat ayah dari belakang. Ayah tersenyum memandang ke hadapan, sedikit demi sedikit aku kembali hidup dari mimpi yang seketika. Ayah kembali pergi sementara aku kembali ke dunia, wajib beriman qada dan qadarnya.

Ramadan tanpa ayah. Al-Fatihah.

Wednesday, December 30, 2015

Reda

Dalam kehidupan sebagai hamba yang reda, kita perlu melihat persekitaran dan merasa cukup dengan kenikmatan pada hamba yang lain.

Tanpa merisaukan kekurangan yang wujud pada diri sendiri.

Misalnya, kita gembira melihat rakan-rakan kita kekenyangan walaupun kita masih belum terisi walaupun secawan kopi.

Mungkin yang lebih ketara, rakan-rakan lain mendapat kes yang 'common' sedangkan diri mendapat kes yang 'rare'.

Mungkin perlu disembunyikan sahaja kemurungan yang melanda selepas gagal mempersembahkan hasil usaha pembelajaran selama setahun setengah. Kena belajar reda dalam sebegini rupa juga.

Phew

Tuesday, December 8, 2015

Jika Rabb-ku berkata kepadaku, “Apakah engkau tidak malu bermaksiat kepada-Ku?”

Antara syair yang selalu diperdengarkan, bagaimana syair ini boleh mengetuk hati kita yang sedang lena atas ranjang dosa yang selesa.

Saat kita bermesra dengan maksiat, celaka lagi kita membawa bersamanya ketika beribadat.

Kita menghadap Allah swt dengan kemegahan dosa kiri dan kanan. Apakah kita mengharapkan keampunan Allah swt tanpa sedikit pun daripada diri kita untuk melutut bertaubat kepada-Nya? Hingga berbangga lagi menghadap-Nya bersama dosa kita?


إذا ما قال لي ربي اما استحييت تعصيني
Jika Rabb-ku berkata kepadaku, “Apakah engkau tidak malu bermaksiat kepada-Ku?”
وتخفي الذنب عن خلقي وبالعصيان تأتيني
Engkau menutupi dosamu dari makhluk-Ku tapi dengan kemaksiatan engkau mendatangi-Ku
فكيف أجيبُ يا ويحي ومن ذا سوف يحميني؟
Maka bagaimana aku akan menjawabnya? Aduhai, celakalah aku dan siapa yang mampu melindungiku?
أسُلي النفس بالآمالِ من حينٍ الى حيني
Aku terus menghibur jiwaku dengan angan-angan dari waktu ke waktu
وأنسى ما وراءُ الموت ماذا بعد تكفيني
Dan aku lalai terhadap apa yang akan datang setelah kematian dan apa yang akan datang setelah aku dikafani
كأني قد ضّمنتُ العيش ليس الموت يأتيني
Seolah-olah aku akan hidup selamanya dan kematian tidak akan menghampiriku
وجائت سكرة الموتُ الشديدة من سيحميني
Dan ketika sakaratul maut yang sangat berat datang menghampiriku, siapakah yang mampu melindungiku?
نظرتُ الى الوُجوهِ أليـس منُهم من سيفدينـــي
Aku melihat wajah-wajah manusia, tidakkah ada di antara mereka yang akan menebusku?
سأسأل ما الذي قدمت في دنياي ينجيني
Aku akan ditanya tentang apa yang telah aku persiapkan untuk dapat menyelamatkanku (di hari pembalasan)
فكيف إجابتي من بعد ما فرطت في ديني
Maka bagaimanakah aku dapat menjawabnya setelah aku melupakan agamaku
ويا ويحي ألــــم أسمع كلام الله يدعوني
Aduhai sungguh celakalah aku, tidakkah aku mendengar firman Allah yang menyeruku?
ألــــم أسمع لما قد جاء في قاف ويسِ
Tidakkah aku mendengar apa yang datang kepadaku (dalam surat) Qaaf dan Yasin itu?
ألـــم أسمع بيوم الحشر يوم الجمع و الديني
Tidakkah aku mendengar tentang hari kebangkitan, hari dikumpulkannya (manusia), dan hari pembalasan?
ألـــم أسمع مُنادي الموت يدعوني يناديني
Tidakkah aku mendengar panggilan kematian yang selalu menyeruku, memanggilku?
فيا ربــــاه عبدُ تــائبُ من ذا سيؤويني
Maka wahai Rabb-ku, akulah hambamu yang ingin bertaubat, siapakah yang dapat melindungiku?
سوى رب غفور واسعُ للحقِ يهديني
Melainkan Rabb yang Maha Pengampun lagi Maha Luas Karunianya, Dialah yang memberikan hidayah kepadaku
أتيتُ إليكَ فارحمني وثقــّـل في موازيني
Aku datang kepada-Mu, maka rahmatilah diriku dan beratkanlah timbangan (kebaikanku)
وخفَفَ في جزائي أنتَ أرجـى من يجازيني
Ringankanlah hukumanku, sesungguhnya hanya Engkaulah yang kuharapkan pahalanya untukku

Monday, November 30, 2015

Hati ke mana?

Manusia sifatnya mencari. Mencari kerana sifat akal ialah berfikir.
Adakalanya pencarian itu berpaksikan hati yang kosong.

Dari kekosongan itu, ada yang memuaskan hati pada wang ringgit semata-mata, atau berkasih sesama manusia mungkin?

Pada hati itu, adakalanya kebahagiaan itu terpancar. Dek kerana kekosongan itu sudah dipenuhi. Manusia merasakan sudah puas. Itu kegembiraan yang sangat manis. Jika dibandingkan dengan manisnya madu, manis lagi iman yang dirasai.

*****

Sambil menelaah 3 kitab surgery yang hampir 1000 muka surat, terfikir-fikir juga untuk mengisi perkara lain. Otak manusia kebiasaannya mampu memberikan tumpuan sekitar 20 minit sahaja. Maka perlu juga selingan beberapa aktiviti. Maka hati ini memilih untuk berfikir sejenak tentang perkara lain.

Kadang-kadang mengimbau masa lampau, di kala akal masih bertanya-tanya, masih kosong tanpa kemampuan berfikir, ketika dunia terasa ringan tanpa tanggung jawab, dan dengan lembaran hidup yang bernanahkan dosa. Allahu.

Terus terang, dosa merupakan suatu kesan bukan sekadar noktah kecil di hati, akan tetapi seperti dakwat merah di atas lembaran jawapan peperiksaan.

Seperti jawapan yang tidak tepat padanya diberi ingatan dakwat merah, maka akan melekat di akal agar tidak diulangi kesilapan.
Kita membenci pada dosa yang terukir dalam, benci lagi kerana ingatan terus mengingati pada dosa lampau.

Kehidupan yang terasa semakin pahit apabila dosa yang dibenci kembali menjadi perencah pada hidangan kehidupan berbaki.

*****


Isilah kekosongan pada hati. Kerana syaitan akan mencari kesempatan bagi menyerang hati manusia.
Pada hati, tempat ilmu bertakhta, pada hati tempat iman bercahaya, pada hati, manusia diangkat menjadi tinggi.

Hati yang tenang penuh dengan pengharapan, sambutlah seruan tuhanmu, agar pintu syurga dibuka untukmu.

*(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata):

“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia -

“Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! “al-Fajr 27-30



-Kaherah, 30 Nov 15, 10.42 malam.

Saturday, March 28, 2015

Nafas yang terhenti

Sebenarnya gagal juga. Tak juga. Sebab kalau nak menulis sebelum ni, kebiasannya taip atas iPad.

Sebab otak yang menulis ni datang tiba-tiba. Tengah menunggu bas, terlintas nama tajuk. Tengah order makanan, teringat tapai buatan mak tom dekat tg lumpur. Eh

Tapi mungkin tugasan menjadi Presiden membuatkan gerak kerja penulisan tertumpu pada persatuan. Menulis atas kertas kerja?

Pasca menjadi presiden, kerisauan paling tinggi apabila masa menjadi lapang. Hati tak keruan bila rasa takda tugasan. Permulaan bagi maksiat bila adanya masa lapang.

Semoga kembali menulis. Dan kembali bernafas.

-Kaherah- 5 petang.

Tuesday, October 15, 2013

Keluarga Contoh

Ketika Nabi Ibrahim as menyeru ayah kesayangannya, beliau menggunakan gelaran 'Ya Abati' bukan 'Ya Abi' (Abati: Ayah yang ku sayangi) Beliau begitu cekal dalam mengajak ayahnya memeluk Islam walaupun ayahnya merupakan Tauke besar pembuat berhala. Pun begitu tidak melemahkan sedikit pun semangat baginda untuk meneruskan dakwah.


Siti Hajar, Isteri Nabi Ibrahim as, ketika diberitahu oleh suaminya untuk ditinggalkan di tengah padang pasir, lalu Siti Hajar bertanya adakah ini merupakan arahan dpd Allah swt?


Nabi Ismail as, ketika diberitahu untuk disembelih oleh ayahnya, maka Nabi Ismail terus bertanya adakah ini perintah dpd Allah? Laksanakanlah wahai ayahku, insyaallah kau akan dapati aku dalam golongan yang sabar.


Kisah Nabi Ibrahim, sebagai seorang Anak, Suami dan Ayah, Siti Hajar sebagai seorang isteri dan Ibu, Nabi ismail sebagai seorang anak, memberi suatu contoh yang sangat agung bagaimana seorang suami mampu mentarbiyah isteri dan anaknya dalam meletakkan pergantungan kepada Allah swt. Lihat sahaja bagaimana respon daripada mereka sepertimana yang dicatat dalam al-Quran ketika mereka ditaklifkan melakukan sesuatu perkara.


Antara cinta, pengorbanan, melebihkan urusan Allah,dan RasulNya dalam setiap perkara. 


Mengimpikan keluarga yang taat kepada Allah dan Rasulnya perlulah bermula dari dalam diri sendiri.


Raya kelima di tempat orang. Salam Aidiladha, dari Kota Kaherah :)



Sunday, October 13, 2013

Aib

Seorang ikhwah kantoi mencuri oleh rakan sebiliknya, maka habis dilaporkan kegiatannya kepada pihak berwajib.

Seorang ikhwah terbuat sesuatu kepada akhawat lain, habis perkara tersebut dihebahkan kepada org lain.


Begitulah lumrahnya apabila dosa itu dilakukan pada manusia yang lain. Kerana dosa yang mungkin pertama kali dilakukan, maka hancur lebur 1000 macam kebaikan yang pernah dilakukan sebelum ini. 

Berbeza dengan Allah yang Maha Pengampun. Sekalipun dosa yang dilakukan itu memenuhi ruang langit dan bumi, dilakukan berulang kali, dilakukan kerana hawa nafsu atau secara tidak sengaja, maka selagi mana pintu taubat masih terbuka, selagi itu Allah akan mengampunkan dosa hamba-hambaNya yang memohon keampunan.

Maha Pengasihnya Allah kepada hamba-hambaNya, aib dan perkara buruk yang kita lakukan sebelum ini disimpan rapi oleh Dia, hanya antara Hamba dan Tuhannya. Berbeza pula dengan dosa sesama manusia, belum pun lafaz maaf diungkapkan, habis sekampung sudah tahu kelakuan buruk si fulan.

Sedangkan kita dilarang untuk membuka aib orang lain, begitu juga kita ditegah daripada mendedahkan aib kita.

***

Dari Abu Qatadah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam pernah ditanya tentang puasa hari `Arafah, kemudian Baginda menjawab:

َََيُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَ الْبَاقِيَة
“Puasa itu (puasa hari `Arafah) dapat menebus dosa setahun yang telah berlalu dan setahun akan datang.” (
HR Muslim)

Dari `A’isyah radhiAllahu `anha berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:


َمَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنْ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَة
“Tidak ada hari yang lebih ramai ALLAH Ta`ala membebaskan hambaNYA daripada api neraka lebih daripada hari `Arafah.” (HR muslim)

Selagi pintu Taubat masih terbuka, selagi nyawa belum ditarik.

Saturday, September 21, 2013

ECG

Berada di atas muka bumi ini, selagi mana kita bergelar manusia, pasti akan melakukan kesilapan.


'Setiap anak Adam akan melakukan kesilapan, sebaik-baik dpd mereka ialah yang bertaubat'


Bila sebut setiap, makanya semua orang. Hatta kta rasa semacam suci je hari tu, hakikatnya mesti ada salah silap yang kita buat. Kalau tidak dizahirkan, pasti di dalam batin kita. Pada hati kita.


Jatuh naik itu manusia. Lumrah. Kalau mendatar, itu sudah mati. Kan ECG?

Moga kita terlepas dpd 'penjara nafsu'

Wednesday, September 11, 2013

Soal Hati

Mungkin dahulu kita mudah untuk menghafal al-Quran tapi kini menjadi sukar. Dulu kita mudah menangis bila mendengar kisah saudar mara kita yang dibunuh di negara yang lain tapi kini kita menjadi sepi. Dan macam-macam lagi perubahan yang berlaku.


Semua ini berkait rapat dengan soal hati. Dan baik buruk hati kita ini hanya Allah dan kita sahaja yang boleh melihatnya. Mahu tak mahu, kita sendiri yang harus sedar akan status hati kita bagaimana. Dan kita kena cepat sedar. Cepat-cepat beristighfar dan bertaubat untuk membersihkan hati kita.




Adakalanya hati yang baik ini mudah untuk kita kenali. Biasanya melalui penyampaian nasihatnya. Mereka yang berhati mulia ini, nasihatnya kadang kala sudah biasa kita dengari. Tetapi disebabkan dia yang menyampaikannya kepada kita, maka dengan mudah kita terus tersentuh.


"Allah akan jaga enta"


Kadang-kadang 4 perkataan ini selalu kita dengari. Tetapi disebabkan Allah menemukan kita dengan mereka yang berhati bersih, lalu nasihat yang disampaikan ini membuatkan kita tersentap, tersentuh.


Pimpinan kena ada beberapa sifat, antaranya sebagai pengajar, murabbi. Kadang-kadang kita pandai mengajar, kita mahir ilmu sekian-sekian tetapi penyampaian kita tidak mudah diterima atau sukar untuk melekat. Maka nya kita kena semak bagaimana hati kita sebenarnya? Keikhlasan kita, amalan kita dsb.



Moga Hati kita lebih lembut dan putih dpd pau panas ni #eh


Al-Fadhilat, Dr Syeikh Yusuf al-Qardhawi melalui karangan kitabnya "Fi Da'wah ila Allah" menyebut Daie bukanlah Khatib, khatib ini menyampaikan apa yang tertulis atas kertas sedangkan Daie ini menyampaikan apa yang ada di hatinya, di lidahnya, melalui artikelnya, melalui kelas pengajiannya. Daie juga bukanlah mufti. Mufti menetapkan apa yang halal dan haram. Sedangkan Daie menjaga mad'unya dpd mendekati yang haram.


Kalau hati tak bersih, guana nak membimbing orang lain? Soal hati.



Wednesday, September 4, 2013

Huruf G.

Tariq bin Ziyad merupakan seorang Jeneral di bawah pemerintahan Bani Umayyah. Beliau ditugaskan untuk menakluk bumi Andalus. Antara kisah yang 'famous' ketika mana mendaratnya tentera Islam di pantai Andalus, Tariq bin Ziyad mengarahkan agar kapal yang dinaiki oleh tentera Muslim dibakar.

Lalu berkatalah Tariq bin Ziyad, "Di belakang kita lautan, di depan kita musuh. Kita harus memilih kemenangan atau syahid. Kita tidak akan pulang sebelum mencapai tujuan itu."

Pun begitu ada yang mengatakan bahawa kisah Tariq bin Ziyad membakar kapal mereka itu merupakan kisah palsu. *Tak pe lah, bukan itu yang saya nak cerita sebenarnya*

***

Dahulu, kawan-kawan ada nasihatkan, kalau nak pergi eropah, wajib pergi Spain. Sebab banyak tinggalan Islam di sana. Jadi saya pun meletakkan azam untuk ke sana dan alhamdulillah, Jan 2012 yang lepas telah pun saya jejakkan kaki di sana ^^

Antara tempat yang saya nak sangat pergi ketika itu ialah Malaga. Tak tahulah, time tu saya fikir Gibralfaro di Malaga ni merupakan tempat mendaratnya tentera Islam. Jadi memang nak sangat la kan p tempat-tempat mcm ni.

Lakaran kawasan Malaga pada tahun 1487 .

Dari atas Alcazaba (Kubu di pesisir pantai Malaga) Kalau ikutkan, selepas kubu ni memang pantai dah. Tapi diorang dah tambak sampai boleh buat pembangunan lagi dkt situ.

*abaikan lelaki tersebut*

Jalan-jalan dekat kawasan Andalus di Spain ni mudah dan murah. Compare dengan other europe countries. Nak cari tempat solat mudah, map mudah baca. Dan memang pasang niat nak p sana lagi :D

****

Dulu masa melancong, banyak gambar tak diupload dan share. Time tu mood nak bercerita tak de. Dan sekarang, maybe sebab bosan, dan sepatutnya hari tu pergi UK beraya kat sana, then tak jadi, mood jenjalan ni datang tetiba. Maka geledah lah kejap gambar-gambar masa euro trip winter tahun lepas.

Dan antara hikmah yang terbesar selongkar balik kenangan eurotrip yg lepas ni ialah, sebenarnya Tariq bin Ziyad bukan mendarat di Gibralfaro, tapi sebenarnya di Gibraltar. Gibraltar ni jauh sikit dpd Malaga. Sejam lebih jugak kalau drive. Adoi rupanya salah info deh =.=''

Ok tak pergi lagi Gibraltar. Lepas kahwin kena p sini. Zzz

p/s: Gibraltar ni berasal dpd pkataan Jabal Tariq (Bhs Arab) Bukit Tariq sempena tempat Tariq bin Ziyad mendarat.


Monday, September 2, 2013

Hamba

Seorang ulama pernah berpesan supaya,


"Bersabarlah menjadi hamba Allah swt."




Hamba Allah swt yang dimksudkan ialah seorang hamba yang diperakui oleh Allah swt. Adakah sekarang kita merasa nikmat menjadi seorang hamba Allah? Seseorang yang boleh menjadikan dirinya hingga mencapai ke suatu maqam sebagai hamba Allah swt sebenarnya itulah maqam yang tertinggi di sisiNya.


"Seseorang yang benar-benar menjadi hamba Allah swt, mereka tidak akan mengambil kisah bagaimana pandangan manusia yang lain terhadap dirinya."


Soalan. Bagaimana caranya untuk kita tahu di mana kedudukan kita di sisi Allah swt? Jawapannya, dimanakah Allah swt di dalam hati kita. Itulah kedudukan kita di sisiNya.



Sunday, September 1, 2013

Saat rehat

Kita pernah dan dibiasakan dengan kalam "Beribadahlah seolah-olah kamu akan mati esok hari". Maka mati itu memerlukan persiapan. Persiapan itu ialah ibadah.



Dan penghalang kepada ibadah ialah maksiat. Sebab itu Nabi Muhammad saw menasihatkan untuk kita mengingati pembunuh kelazatan dunia iaitu mati. Bila terdetik untuk ke arah maksiat, maka ingatlah mati. Siapa yang berani menjamin 5 minit kemudian kita masih bernafas?


Bagi orang mukmin, mati ini dilihat sebagai tempoh untuk kita berehat. Mati sebagai suatu kejayaan. Kita rasakan hidup ini penuh dengan masalah. Kita mengerah seluruh tenaga, harta, masa, dengan 1001 masalah yang ada kita masih lagi teguh dan sabar, tiba-tiba kita dimatikan. Dunia mungkin bersedih akan tetapi hakikat yang berlaku si mati menemui kejayaan yang sebenar. Iaitu Husnul Khotimah.


Setiap perkara yang diciptakan dan ditetapkan untuk kita lalui hakikatnya itulah yang terbaik. Kejayaan, kegagalan, musibah, masalah semua itu pasti akan dilalui. Ada saat kita bergembira, ada saat kita bersedih. Ada saat kita ditimpa dengan pelbagai masalah, tetapi mereka yang beriman akan yakin bahawa kesemua ini sebenarnya yang terbaik buat mereka.




Kematian yang baik, yang indah merupakan impian setiap manusia yang beriman. Setiap perbuatan kita mencorakkan saat kematian kita. Maka kerinduan untuk mati itu memuncak apabila kita dikelilingi dengan mereka yang menemui Husnul Khotimah.


Namun silap juga kalau terlalu mengharapkan agar kematian itu sampai maka kita pun melepaskan segala tanggungjawab yang ada. Baik kepada rakan, keluarga, masyarakat dan guru. Semuanya perlu dijaga kerana suasana kematian kita juga akan dipengaruhi oleh mereka yang bersama dengan kita.


****


Teringat dalam sedutan rancangan realiti, "Laukana Bainana" Jika kita diberikan suatu masa untuk bersama dengan Baginda Saw, apakah yang akan kita pinta?


Soalan ini dijawab oleh seorang wanita, "Aku ingin Rasulullah saw membawa aku keluar daripada dunia ini"


Aku juga ingin dibawa keluar. Kisah yang menimpa untuk hari ini pula tidak lagi aku mampu menerimanya dengan senyuman. 




وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ

Do not be discouraged or grieved. You alone will have true dignity [if you only are true believers.] (Quran 3:139)


P/s: tenanglah :)

Thursday, August 29, 2013

Pelajari dan Aplikasi

Dalam sirah ar-Rasul saw, kita pernah diceritakan bagaimana Sayyidina Abu Bakar menenangkan Sayyidina Umar ketika mana Sayyidina Umar tidak dapat menerima tentang kewafatan Rasulullah saw.

Lalu Sayyidina Abu Bakar membawakan ayat ini sebagai peringatan kepada Sayyidina Umar ra.

وما محمد إلا رسول قد خلت من قبله الرسل أفإن مات أو قتل انقلبتم على أعقابكم ومن ينقلب على عقبيه فلن يضر الله شيئا وسيجزي الله الشاكرين

Ketika mana Dr Asri meletakkan jawatan sebagai YDP PAS, lalu bersoraklah perwakilan yang hadi pada muktamar ketika itu. Kemudian ayat yang sama juga dibacakan untuk menenangkan hadirin yang hadir.

Antara sedih dan suka. Antara kasih dan Benci, ayat ini menjelaskan bahawa pembawakan Islam itu perlu diteruskan. Ia digerakkan oleh Jamaah, bukannya individu. Pimpinan itu kita kasih, atau kita benci, berubah posisi pimpinan kita maka kita kena teruskan perjuangan tersebut.

Dipelajari untuk Diaplikasi.

Arwah Lah yang sudah memasuki hari kedua pemergiannya memang sangat menguji kekuatan diri ini. Sekali sekala merenung ayat di atas. Bagaimana Sayyidina Umar ra boleh lembut hatinya setelah dibacakan ayat ini, ternyata hati ini sangat keras untuk menerima ayat ini.

Begitu juga dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan rahsia Allah. Leka pula bila melihat orang lain mendirikan rumah tangga, menimang cahaya mata, atau pun saudara yang jauh meninggal dunia, padahal perkara ini seharusnya menjadi peringatan bahawa kita kena bersedia.

Bersedia untuk menjadi seorang suami. Seorang bapa. dan sekujur jenazah.

Bila ketetapan ini terpalit pada sahabat yang rapat, baru diri ini terhantuk. Rupanya aku terlalu lalai selama ini.

Kalau nak ceritakan kebaikan arwah, memang tak terkata. Hikmah orang yang menjaga al-Quran. Ada orang menjadi Hafiz. Tapi tiada keiizzahan sebagai seorang Hafiz. Tetapi alhamdulillah, Allah pertemukan kami dengan Lah, seorang yang saya boleh gelarkan sebagai Hamlatul Quran. Al-Quran ada pada diri Lah.

Bila tengok Lah, dengar apa yang Lah cakap, memang terkesan. Kadang-kadang isinya simple. Dah selalu dengar. Tapi penyampaian dia menyentuh hati. Semuanya kerana Lah mempraktikkan al-Quran dalam kehidupannya.

Sedangkan tengok Lah dah mcm ni, mcm mana pula bila terjumpa Rasulullah saw ye? :')

Bukanlah kami sedih kerana Lah sudah pergi, kami akui, group Majlis Presiden (Pengerusi ketujuh-tujuh cawangan) kini sunyi seketika. Kebiasaannya Lah yang akan initiate perbincangan. (Saya tukang karut lebih) Sedih tu ada la sikit. Yang paling penting kami cemburu kerana Lah dijemput ketika dia berada di atas jalan perjuangan.

"Tidaklah dikira seorang Hamba itu Istiqamah dalam perjuangan hingga dia mati dalam perjuangan"

Mengapa Allah bagi aku peluang untuk hidup lagi hari ini?
Kerana dosaku sangat banyak.Allah bagi peluang untuk bertaubat lg.Begitu pemurah sekali Allah.Mati itu tidak mengenal tua dan muda.Gunalah sebaiknya masa yang ada.Sungguh demi masa, manusia itu sangat rugi.
Astaghfirullah.Pray4Egypt
Antara status-status terakhir arwah.

Tenanglah.

***

Sebenarnya sampai sekarang tak boleh nak bkerja T.T Asyik teringat ke mung. Sampai mimpi hang reply whatsapp >.< Lah, jumpa di Syurga Lah >.<