Pages

Monday, November 30, 2015

Hati ke mana?

Manusia sifatnya mencari. Mencari kerana sifat akal ialah berfikir.
Adakalanya pencarian itu berpaksikan hati yang kosong.

Dari kekosongan itu, ada yang memuaskan hati pada wang ringgit semata-mata, atau berkasih sesama manusia mungkin?

Pada hati itu, adakalanya kebahagiaan itu terpancar. Dek kerana kekosongan itu sudah dipenuhi. Manusia merasakan sudah puas. Itu kegembiraan yang sangat manis. Jika dibandingkan dengan manisnya madu, manis lagi iman yang dirasai.

*****

Sambil menelaah 3 kitab surgery yang hampir 1000 muka surat, terfikir-fikir juga untuk mengisi perkara lain. Otak manusia kebiasaannya mampu memberikan tumpuan sekitar 20 minit sahaja. Maka perlu juga selingan beberapa aktiviti. Maka hati ini memilih untuk berfikir sejenak tentang perkara lain.

Kadang-kadang mengimbau masa lampau, di kala akal masih bertanya-tanya, masih kosong tanpa kemampuan berfikir, ketika dunia terasa ringan tanpa tanggung jawab, dan dengan lembaran hidup yang bernanahkan dosa. Allahu.

Terus terang, dosa merupakan suatu kesan bukan sekadar noktah kecil di hati, akan tetapi seperti dakwat merah di atas lembaran jawapan peperiksaan.

Seperti jawapan yang tidak tepat padanya diberi ingatan dakwat merah, maka akan melekat di akal agar tidak diulangi kesilapan.
Kita membenci pada dosa yang terukir dalam, benci lagi kerana ingatan terus mengingati pada dosa lampau.

Kehidupan yang terasa semakin pahit apabila dosa yang dibenci kembali menjadi perencah pada hidangan kehidupan berbaki.

*****


Isilah kekosongan pada hati. Kerana syaitan akan mencari kesempatan bagi menyerang hati manusia.
Pada hati, tempat ilmu bertakhta, pada hati tempat iman bercahaya, pada hati, manusia diangkat menjadi tinggi.

Hati yang tenang penuh dengan pengharapan, sambutlah seruan tuhanmu, agar pintu syurga dibuka untukmu.

*(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata):

“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia -

“Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! “al-Fajr 27-30



-Kaherah, 30 Nov 15, 10.42 malam.