Pages

Tuesday, June 7, 2016

Ayah dah pulang.

Langit petang menjadi mendung. Bumi Selangor sering dibasahi hujan tatkala senja mula menjengah. Udara menjadi dingin dan lembap, desiran angin semakin kuat, aku melihat ayah datang dengan menaiki kereta hitamnya. Ma pernah berkata, ayah memang hidupnya dalam kereta. Kuat mencari rezeki, hinggakan 2/3 hidupnya berada di dalam kereta. Aku dan ayah ketawa perlahan mendengar keluhan ma.

Perlahan-lahan ayah tersenyum girang sambil membuka pintu kereta lalu cepat-cepat aku mencapai tangannya yang mulia untuk kukucup. Ku mula sedar, jarang sekali peluang sebegini hadir untuk aku mendekati ayah.

"Ma tak balik lagi ke, ayah pergi jemput ma dulu ye." Ayah mula berbicara ringkas denganku. Perlahan-lahan kereta ayah bergerak ke hadapan, dengan serta merta alu menahan dari belakang.

"Ayah, ma habis kerja pukul 4 hari ni. Bulan ramadan ma habis awal." Cepat cepat aku memberitahu ayah, bimbang bimbang ayah tersangkut di dalam kesesakan lalu lintas. Sambil melihat jam tangan yang menunjukkan waktu sudah menghampiri jam 5, waktu berbuka semakin delat.

Ayah kembali memasukkan kereta ke dalam anjung kereta. Aku membuka pintu di belakang dan terus mengambil kerusi di tepi ayah.

"Adik tak balik ke hari ni?" Soal ayahku lagi tanda rindu mungkin.

"Adik dengan kak yang semua ada kelas dan exam ayah, hujung puasa ni baru balik," balasku menjawab persoalan ayah.

Ayah sendawa kecil, meletakkan tangannya di atas perutnya, ayah mengadu perutnya tidak selesa. Cepat cepat aku mengajak ayah ke hospital. Ayah memang sukar untuk dibawa ke hospital. Seperti kebanyakan orang, ayah lebih suka untuk menanggung kesakitan yang sedikit daripada menunggu berjam lamanya di ruang menunggu hospital.

"Ayah, jom along bawak pergi hospital, along belanja ayah makan nak?" Rayuku pada ayahanda tercinta. Soalan aku dibalas dengan ketawa ayah, ayah mengadu lagi, katanya perutnya pedih. Air mata panasku mula menitik. Sedikit demi sedikit aku menyedari ini bukan realiti. Tetapi mimpi pada kali ini berbeza. Kalau sebelum ini, aku melihat ayah dari jauh. Tanpa suara. Ramadan ini Allah swt pertemukan aku dengan ayahanda tercinta, aku merindui untuk bergurau manja dengan ayah. Semakin deras air mata mengalir, semakin kabur pandangan mataku dengan ayah. Cepat cepat aku menangkap ayah dan memeluk erat.

"Ayah..maafkan along ayah," pintaku sambil memeluk erat ayah dari belakang. Ayah tersenyum memandang ke hadapan, sedikit demi sedikit aku kembali hidup dari mimpi yang seketika. Ayah kembali pergi sementara aku kembali ke dunia, wajib beriman qada dan qadarnya.

Ramadan tanpa ayah. Al-Fatihah.

1 comment:

apple putih said...

Kadang-kadang bila rindu bertandang, jumpa dalam mimpi pun rasa dah cukup :)