Pages

Wednesday, August 28, 2013

Abdullah @ Lah

Antara kami bertiga, adik beradik cawangan baru (Ain Shams, al-Azhar dan Kaherah), Abdullah bin Azahari ataupun dengan panggilan mesranya, Lah, dialah yang lebih banyak bergerak sendiri. Pengamatan saya, PERUBATAN Cawangan Ain Shams sangat bertuah kerana mempunyai pengerusi seperti beliau.


Beliau memang masih baru dalam saf kepimpinan. Tapi ide, buah fikirannya menjangkaui batas pemikiran mereka yang berpengalaman.


Manis mulutnya, senyumannya. Bicaranya menusuk kalbu.


Lah (berbaju merah) selepas menjadi panel dalam forum Nuzul Quran Ramadan lepas.



"Cuba kita letak handphone dan al-Quran ditempat yang sama, keesokannya, kita bangun, mana yang kita akan capai dahulu? Al-Quran atau Handphone?" 


Antara pesanan-pesanan yang Lah sampaikan ketika dijemput oleh PERUBATAN Cawangan al-Azhar dalam Ramadan yang lepas bagi mengisi slot Nuzul Quran.


Hampir 7 bulan kami bersama-sama berkhidmat dalam portfolio pengerusi. Rajin Lah bertanyakan perkara-perkara bkaitan kerja. Beliau tahu bahawa sebagai seorang yang masih baru, tak seharusnya mendiamkan diri. Kerana malu bertanya, sesat jalan.


Kalau nak diceritakan, terlalu banyak kisah dan kenangan manis kami dalam bkerja. Apabila kita sama-sama bergerak dalam persatuan, yang bukanlah untuk mengejar nama, apatah lagi harta, akan tetapi kerana amanah yang telah dipundakkan ke atas bahu kami, ternyata ikatan ukhuwah itu tampak terbina dan terikat dengan secara fitrah. Tidak perlu dipaksa. 


Sebelum perintah darurat, saya sempat bermain badminton dengan beliau. Jauh dari Abbasiyah ke Hayyu Sadis untuk beriadah ;)


Kami selalu berhubung dalam whatsapp. Sebelum evakuasi, Lah selalu bergurau "Nampaknya kita akan berpisah" "entah bila kita akan berjumpa lagi" kami hanya melayan sebagai seorang rakan yang selalu bergurau sesama sendiri.


Dan pagi ini, gurauannya bukanlah jenaka semata-mata. Rupanya membawa satu pesanan yang tersirat. Dia pergi dalam keadaan ahli PCS sangat memerlukannya. Sungguh, Allah menyayanginya.


Abdullah Bin Azahari meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Ajil, Kuala Berang hari ini. 


Sungguh, tidak ada lagi sahabat aku yang pergi sehingga aku menjadi sebak sebegini. Bukanlah aku sedih kerana pemergian beliau, aku takut untuk menanggung rindu sebenarnya.



Antara pesanan beliau. Lah, Allah akan menjaga aku. Dan tenanglah kau di sana. Kini masa untuk engkau berehat. Doakan kami terus thabat dalam jalan agama Allah ini


Ya Allah, pertemukanlah aku sekali lagi dengan Lah, agar diriku tenang melihat keadaannya sebagai orang yang berjaya dunia akhirat.



Berehatlah Lah. Al-Fatihah.

No comments: