Wednesday, August 4, 2010
AKIDAH: TANGKAL DAN AZIMAT
Pada satu ketika, sepuluh orang datang untuk memberi janji taat setia kepada Rasulullah s.a.w.. Baginda menerima janji dari kesemua sembilan orang kecuali seorang. Baginda ditanya, kenapa enggan menerima janjinya? Baginda menjawab: “Sesungguhnya padanya ada tangkal.” Lalu orang tersebut memasukkan tangan ke dalam bajunya, mengeluarkan sebuah tangkal dan membuangnya. Melihat tindakannya itu, Rasulullah s.a.w. menerangkan: “Sesiapa menggantung tangkal maka sesungguhnya dia (berbuat) syirik.” [al-Targhib wa al-Tarhib oleh al-Munziri, hadis no: 5065 dengan sanad yang hasan].
Kisah di atas menerangkan hukum yang berat bagi sesiapa yang menggunakan tangkal. Tangkal adakalanya disebut sebagai azimat. Kedua-duanya memiliki maksud yang hampir sama. Kamus Dewan mendefinisikan tangkal sesuatu yang digunakan untuk menolak bala seperti penyakit, hantu, jin dan lain-lain. Azimat pula adalah bahan yang terdiri dari tulisan yang ditulis pada kertas, kain, keratan kayu tertentu, atau sisik tenggiling yang dipakai pada bahagian tertentu tubuh seperti di pinggang yang dianggap mempunyai sakti dan boleh mengelakkan penyakit, bencana dan sebagainya
Sama ada tangkal atau azimat, ia tidak akan mendekatkan manfaat atau menjauhkan mudarat bagi orang yang memakainya. Bahkan ia menjauhkan manfaat dan mendekatkan mudarat. Ini kerana mendekatkan manfaat atau menjauhkan mudarat dapat diperoleh dengan merujuk terus kepada Allah s.w.t.. Menggunakan tangkal sebagai “jalan tengah” tidak akan memberi apa-apa faedah. Rasulullah s.a.w. menyifatkan penggunaan tangkal sebagai:
“Sesiapa menggantung tangkal maka Allah tidak akan menyempurnakan baginya (hajatnya) dan sesiapa menggantung cengkerang siput maka Allah tidak akan mententeramkan baginya (dengan siput tersebut).” [al-Targhib wa al-Tarhib oleh al-Munziri, hadis no: 5064 dengan sanad yang hasan].
Dalam satu riwayat lain Rasulullah s.a.w. melihat seorang lelaki yang ada ikatan di tangannya, baginda bertanya: “Apakah ini?” Lelaki itu menjawab: “Aku menjadikannya sebagai pelindung daripada sejenis penyakit.” Lalu Rasulullah bersabda: “Tiadalah ia menambah bagi kamu kecuali kelemahan. Lemparkan ia daripadamu, kerana sesungguhnya jika kamu mati dan ia berada di atasmu, tidaklah ia akan membantu kamu selama-lamanya (sehingga ke Hari Akhirat).” [al-Targhib wa al-Tarhib oleh al-Munziri, hadis no: 5067 dengan sanad yang hasan].
Penggunaan tangkal juga dilarang sekali pun ke atas haiwan. Pada zaman Rasulullah s.a.w., para pemilik haiwan, sama ada haiwan ternakan atau tunggangan, lazim menggantung tangkal di leher haiwan mereka sebagai pelindung dari penyakit atau buatan sihir. Rasulullah s.a.w. menegah perbuatan ini dengan bersabda: “Janganlah dibiarkan di leher unta kalung (yang diperbuat) daripada tali atau (apa-apa jenis) kalung kecuali dilepaskan.” [Shahih Muslim, hadis no: 2115]
Tangkal Yang Dijampi Dengan al-Qur’an.
Timbul persoalan, bagaimana hukumnya bagi tangkal yang dijampi dengan al-Qur’an dan zikir-zikir kepada Allah? Ada sebahagian para ilmuan Islam yang membolehkannya. Namun ada juga yang tidak membolehkannya. Di antara dua pendapat ini, yang lebih selamat ialah tidak boleh. Antara sebabnya adalah, jika kita memperhatikan hadis-hadis di atas yang melarang penggunaan tangkal, Rasulullah s.a.w. tidak membezakan sama ada tangkal tersebut dijampi dengan apa. Sebaik sahaja baginda mengetahui seseorang itu menggunakan tangkal, baginda terus melarangnya. Bahkan menghukumnya sebagai satu perbuatan syirik.
Dalam hadis-hadis sahih yang lain, baginda banyak mengajar jampi-jampian yang menggunakan al-Qur’an, zikir dan doa sebagai pelindung dari penyakit dan perbuatan dengki orang lain. Akan tetapi dalam hadis-hadis tersebut, baginda tidak mengajar agar jampi-jampian itu dilakukan ke atas tangkal. Sebaliknya hendaklah orang yang inginkan perlindungan membaca sendiri jampi-jampian dengan kefahaman dan penghayatan.
Agaknya mengapa Rasulullah s.a.w. tidak mengajar sedemikian? Sebabnya mudah sahaja. Sekali pun dijampi dengan al-Qur’an, zikir dan doa, orang yang memakainya akan tetap memiliki keyakinan bahawa yang memberi manfaat dan menjauhkan mudarat ialah tangkal itu sendiri dan bukannya Allah. Keyakinan sebegini adalah syirik. Orang-orang yang memakai tangkal, apabila ditanya “Kenapa anda memakai tangkal?”, nescaya dia menjawab: “Ini hanya sebagai sarana, yang sebenarnya melindungi saya ialah Allah!” Jawapan ini hanya benar di bibir, tidak di hati.
Tak percaya? Ahaa! Cubalah buat satu ujian mudah. Jika anda memiliki seorang rakan yang menggunakan tangkal dengan alasan seumpama di atas, cuba anda mencari jalan untuk mengambil dan menyembunyikan tangkalnya. Nescaya anda akan dapati rakan tersebut menjadi kelam kabut mencari tangkal itu. Jika dia tidak menemuinya, tentu dia akan menjadi resah, hilang keyakinan diri, serba ketakutan, risau tak menentu dan pelbagai lagi sikap negatif. Semua ini menjadi bukti bahawa yang diyakininya sebagai pelindung ialah tangkal dan bukannya Allah. Ini kerana jika dia menjadikan Allah sebagai pelindung, nescaya dia akan tetap seperti biasa kerana mengetahui Allah sentiasa melindungi para hamba-Nya selagi mana para hamba tersebut meminta perlindungan dari-Nya.
Oleh itu, pendapat yang selamat ialah tidak menggunakan tangkal sekali pun ia dijampi dengan al-Qur’an, zikir dan doa. Pemberi manfaat dan penjauh mudarat yang sebenar ialah Allah s.w.t. dan kita dapat memperolehnya secara terus tanpa perlu kepada apa-apa benda sebagai perantara mahu pun sarana. Penggunaan tangkal adalah sesuatu yang agak lazim di kalangan masyarakat. Jika anda memakainya, maka buanglah ia sebagaimana pesan Rasulullah s.a.w. dalam hadis-hadis di atas. Jika anda mengetahui ahli keluarga atau rakan-rakan lain yang memakainya, jangan sekadar bermain ujian menyembunyikannya, tetapi nasihatkanlah mereka untuk membuangnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment